INFO & TIPS


MAKAN ITU IBADAH

Dalam Islam,makan boleh dianggap sebagai suatu ibadah jika kita meniatkannya sebagai suatu tindakan untuk memberikan tenaga pada diri sendiri bagi membolehkan kita menjalani ibadah dan amal kebajikan lain.

     Bukan sekadar itu, kita juga dituntut untuk makan minum daripada makanan yang baik-baik, bersih, halal dan selamat daripada syubhat. hal ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud,
          "....Makanlah yang baik-baik daripada apa yang telah Kami rezekikan kepadamu..."(Surah Al-A'raf : 160)

     Makan minum juga ada adab tersendiri. Antaranya mulakan makan dengan membaca Bismillah seperti sabda Rasulullah, "Apabila kamu makan, maka sebutlah nama Allah. apabila lupa menyebut nama Allah pada awalnya, maka ucapkanlah, 'Bismillah awwalahu wa akhirahu'." (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

     Di negara kita, kita makan dengan mewah dan kadangkala berlebih-lebihan, langsung membawa pada pembaziran. Kerana mewahnya kita dengan makanan, kita terlupa pada orang lain yang mungkin sedang kelaparan kerana tiada sebutir nasi pun yang hendak dijamah. Justeru, apabila sedang mengadap makanan, ucaplah kesyukuran kerana kita dilimpahi rezeki. Dan beringat-ingatlah juga pada golongan yang mungkin ketika ini sedang menangis kelaparan.





CARA-CARA MENGKHUSYUKKAN SEMBAHYANG

Hidup merupakan jambatan menuju Akhirat. Justeru seluruh perlakuan hidup dijuruskan kepada matlamat mencari keredhaan Illahi, maka sewajarnyalah setiap gerak dan langkah kehidupan itu kita jadikan sebagai wadah menunaikan tuntutan ibadah terhadapNya.


  1. Sembahyang berjamaah, ( yang paling afdhal ialah di masjid )
  2. Menjaga makanan dan minuman supaya halal dimakan begitu juga makanan yang syubhat (yang kesamaran hukumnya seperti makanan yang dikatakan mengandungi campuran benda-benda yang haram tetapi tidak jelas. Memakan seekor semut mematikan hati 40 hari)
  3. Membanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
  4. Jangan sembahyang dengan menahan buang air besar atau air kecil dan selesaikannya terlebih dahulu atau perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam sembahyang.
  5. Mengambil Wudhu' dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat atau berdoa apabila air melalui tiap-tiap anggota.
  6. Memakai pakaian yang bersih dan kemas seperti akan mengadap orang besar.
  7. Sembahyang di awal waktu. ( melainkan jika ada majlis ilmu atau majlis zikir, maka sembahyang isya' boleh dilambatkan sehingga selesai majlis itu)
  8. Pastikan supaya tidak ada gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.
  9. Mengingati mati dan kemungkinannya sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.
  10. Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hambaNya.
  11. Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang melihat segala gerak geri kita.
  12. Memahami segala bacaan dalam sembahyang termasuk ayat-ayat Al Quran dan segala zikir.
  13. Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, selawat kepada Nabi, Istighfar dan bacaan-bacaan lain untuk menjauhkan gangguan syaitan.
  14. Memandang ke tempat sujud dan tidak terlalu banyak menggerakkan anggota dan berpaling semasa dalam sembahyang.
  15. Memusatkan seluruh ingatan kepada sembahyang.
  16. Memanjangkan masa rukuk dan sujud.
  17. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan kita sembahyang.
  18. Jangan memandang ke kiri dan ke kanan.
  19. Hendaklah memandang ke tempat sujud.